BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Anak-Anakku Bukan Anak-Anakku


Anak-Anakku Bukan Anak-Anakku
www.iLuvislam.com
Dr. Khairol Jambli *
Editor : kasihsayang



Suatu hari tu, aku membuat keputusan untuk mengambil cuti, kerana
minggu-minggu sebelumnnya sibuk memanjang dengan tugasan seorang doktor.
Pada pagi itu, isteriku bekerja dan anak-anak yang dah bersekolah perlu ke
sekolah. Cuma tinggal Ammar, anak bongsu yang berumur 2 tahun.

Pagi tu agak sunyi kerana tiada riuh-pikuk anak-anak lain. Akhirnya, aku
membuat keputusan untuk membuat sedikit kerja yang masih tertunggak sekian
lama. Setengah jam kemudian, kedengaran bunyi Ammar naik ke atas dan dia
terus ke bilik studiku. Dia terus berdiri di sisi kakiku sambil meletakkan
mukanya di pahaku.

Aku merasa sedikit terganggu, maklumlah tengah membuat kerja komputer yang
memerlukan konsentrasi yang tinggi.

"Ammar, pergilah bawah dengan bibik! ok?"
"Tak nak!. Tak nak!". jeritnya.
"Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!"
"Tak nak! tak nak!", katanya sambil meraung
" Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!! " jeritku sedikit marah.
"Tak nak! Tak nak!" katanya sambil memeluk erat kakiku, aku cuba melepaskan
tangannya yg kecil tu.

Akhirnya, kupanggil bibik untuk mengambilnya. Menangis-nangis dia sambil
tetap memegang kakiku ketika ditarik oleh bibik. Membentak aku dalam hati,
"mengganggu je nak membuat kerja".

Ketika aku membuat kerja, terdengar bunyi bibik memujuknya yang
terjerit-jerit. Dibuatkan susu, ajak bermain pun tak nak. Akhirnya
terdengar bunyi dia dimandikan, dan dipakaikan pakaian sambil
terjerit-jerit melawan bibik yang terus cuba memujuknya. Sepanjang masa tu,
aku cuma membuat kerja sambil sekali-sekala terdengar bunyi dibawah.

Akhirnya terdengar bunyi kaki kecilnya naik ke atas menangis teresak-esak
sambil diekori oleh bibik. Dia mengetuk-ngetuk bilik studiku dengan
tangannya yang kecil. Dengan rasa sedikit menyampah, aku menyuruh bibik
membuka pintu.

Terpacullah mukanya yang merah mengalirkan air mata sambil teresak-esak
memegang botol susu dan bantal kecilnya. Tanpa berkata apa-apa, diapun
terus meletakkan bantal kecilnya dan terus baring menghisap botol susunya
dihujung kakiku. Bunyi teresak-esaknya masih kedengaran namun semakin
berkurang.

Sambil menghisap susunya, tangannya memegang hujung jari kakiku. Aku
biarkan sahaja sambil terus mengadap monitor komputer. Tak lama selepas
itu, sesuatu terdetik di hatiku, Kulihat wajah Ammar, "tertidur rupanya".
Sebelah tangannya memegang botol susu dan sebelah lagi memegang hujung
kakiku. "Rupa-rupanya dia nak aku baring dan memeluknya semasa dia
menghisap susu botol'," bisik hati kecilku.

Akhirnya, kututup monitor notebook, dan mengangkatnya. Dia tersedar sekejap
tapi bila nampak abinya yang mengangkat dia, terus meletakkan kepalanya di
bahuku. Lepas tu, kubawa dia ke bilik dan terus baring disisinya sambil
mengusap-ngusap rambutnya. Damai nampak mukanya sambil terus tertidur
didalam pelukanku.

Sambil mengusap-ngusap rambutnya, aku berkata dalam hati, "maafkan abi
Ammar, abi tak faham Ammar dahagakan kasih sayang abi". Ketika itu,
bergenang rasanya mata. Akhirnya,akupun tertidur di sebelahnya.





Teringat saya kisah Raja Melaka yang mahu mengahwini puteri gunung ledang.
Diberikan syarat jambatan emas, tujuh dulang hati nyamuk dan lain-lain.
Semuanya mampu diberikan kecuali satu, iaitu semangkuk darah puteranya. Ini
kerana Sultan Melaka tidak mampu untuk melukakan puteranya untuk mengambil
darahnya.

Tetapi, bayangkan kita sekarang. Sudah ramai ibubapa yg sanggup melukakan
anaknya kerana sebuah cita-cita ataupun karier mereka. Bukannya melukakan
kulit mereka seperti Sultan Melaka, tetapi melukakan hati-hati mereka.
Bukannya disengajakan, tetapi tidak disengajakan kerana tekanan tempat
kerja, deadline yang perlu dikejar dan pelbagai alasan yang tidak berasas.

Mungkin ada yang memberikan alasan untuk memberikan kehidupan yg terbaik
untuk anak-anak, tetapi adakah dengan melukakan hati mereka? Anak-anak
yang tidak berdosa, cuma menyepi dan terus terbiar. Maka ibubapa sebenar
mereka bukannya mereka yg dipanggil ibu/bapa/mama/abi/ummi, tetapi
insan-insan yang dinamakan bibik/orang gaji.

Anak-anak yang berumur terutamanya di bawah 7 tahun memerlukan kasih
sayang, yang berumur sekolah rendah perlu diberikan bimbingan dan disiplin,
yang berumur remaja baru memerlukan belanja yang banyak dan apabila mereka
masuk ke universiti baru mereka memerlukan belanja yg cukup besar. Tetapi
kenapa kita sanggup mengorbankan 18 tahun pertama mereka semata-mata untuk
memberikan mereka kesenangan?

Anak-anak kecil tidak memerlukan kereta besar dan selesa, mainan PSP/PS2,
pakaian yang mahal-mahal dan selesa, mainan yang mahal dan
canggih....Mereka hanya perlukan pelukan lembut ibubapanya yang penuh mesra
dan perhatian sewajarnya dari insan bernama ibu/bapa.

PERMINTAAN YANG MUDAH INIPUN KITA TIDAK BERIKAN KEPADA MEREKA!

Mungkin kita pernah mendengar orang mencemuh; ibu guru, tapi anak pelesit.
Bapa ustaz tapi anak duduk merempat. Mungkin inilah puncanya. Kita terlalu
sibuk dengan kerjaya, sampai melupakan pendidikan anak-anak di rumah.
Natijahnya, anak membesar dahagakan kasih sayang ibubapa dan apabila
remaja, mereka berubah bukannya menjadi anak-anak kita, tetapi anak-anak
terbiar yang membesar dibimbing oleh rakan-rakan.

Maka ketika itu jangan menyesal, anak-anak kita, tidak menjadi seperti
anak-anak kita, tetapi menyerupai anak-anak orang lain. Masa itulah baru
kita berkata didalam hati "ANAK-ANAKKU, BUKAN ANAK-ANAKKU."

Anak...kaulah permata ayah bonda
Anak...kaulah harapan ayah bonda
Anak...kaulah cahayamata ayah bonda
Anak...kaulah buah hati ayah bonda

Anak...jadilah orang yang berguna
Anak...berbaktilah kepada agama
Anak...carilah ilmu yang berguna
Anak...berbaktilah kepada kedua orangtuamu

Anak...kaulah harapan ayah bonda
Anak...kaulah harapan bangsa, agama dan watan
Anak...jadilah anak yang soleh/solehah
Anak...harumkanlah namamu dengan menjadi orang yang taat kepada Allah

Itulah...harapan ayah bonda.

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku cuba membimbing anak-anakku sedaya upayaku,
tetapi jika aku gagal/tidak mampu mendidik mereka sebaiknya, maka
hadirkanlah seorang mualim/murabbi dalam hidup mereka yang mampu menampung
kekurangan di dalam pendidikanku dan kasih sayangku Ya Rahman, Amin "

0 comments: