BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Kedutan, Bongkok, dan Tua Untukmu'

Sambutannya tidaklah sehebat sambutan hari ibu, namun tetap wujud hari untuk memperingati seorang lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Panggilan ayah, bapa atau bapak, baba, papa, daddy, walid – tidak kisah apa juga gelaran dan panggilannya, merupakan seorang insan yang memikul tanggungjawab yang besar terhadap keluarganya. Bagi masyarakat orang Melayu, seorang bapa dilihat sebagai seorang ketua keluarga yang sangat dihormati bukan sahaja bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga malahan juga berperanan sebagai pendidik bagi ilmu agama.

Bagi penulis yang sudah hampir 11 tahun kehilangan insan yang bergelar ayah, hidupnya seolah-olah tidak lengkap sepenuhnya. Walaupun ada hari khusus untuk menghargai jasa seorang ayah, tetapi kenangan dan jasa ayah pada penulis tetap akan dikenang hingga akhir hayat. Islam mengamanahkan seorang ayah menjaga, melindungi ahli keluarganya di samping pertanggungjawaban mengisi minda keluarganya dengan ilmu agama yang mencukupi sebagai bekalan mengharungi cabaran hidup kelak. Ayah dilihat persis seorang nakhoda kapal. Sekiranya tidak betah mengemudi kapalnya dengan baik, karamlah kapal, terkorbanlah awak-awaknya. Jika seorang ayah tidak pandai mengetuai keluarganya, kucar-kacirlah keluarga pincanglah rumahtangga.

Sebenarnya saat diciptakan lelaki, telah tertulis yang membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarga, dia akan sentiasa berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung dari segala bencana. Diciptakan pula bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting-tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya.Diberikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih, agar keluarganya tidak terlantar, walaupun seringkali dia mendapat cercaan dari anak-anaknya. Ditambah dengan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih payahnya.

Dianugerahkan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya. Disulami perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya, melukai hatinya. Padahal perasaannya itu pula yang telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat dimana anak-anaknya tertidur lelap. Serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara.

Digunakan kebijaksanaan dan kemampuan yang ada untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang bahkan dikotak-katikkan oleh anak-anaknya. Kebijaksanaan dan kemampuan diberikan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka, walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi.

Dan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya. Malah diberikan kepada lelaki tanggungjawab penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga (seri / penyokong), agar dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawab ini adalah amanah di dunia dan akhirat.

Begitulah betapa besar jasa dan tanggungjawab seorang ayah. Benar sebgai anak kita perlu mendahulukan ibu tiga kali lebih daripada ayah, namun janganlah dipandang hanya sebelah mata pengorbanan ayah. Ini kerana jika hanya ibu sahaja yang wujud di dunia ini, tidak mungkin kita akan lahir ke dunia tanpa ayah. Seandainya ayah anda masih hidup jangan sia-siakan kesempatan untuk membuat hatinya gembira. Apabila ayah anda telah tiada, jangan putuskan tali silaturahim yang telah dirintisnya dan doakanlah agar Allah selalu menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya doa anak-anak yang soleh dan solehah adalah penghubung silaturrahim itu. Amin

(sumber dari internet)

0 comments: