Allah s.w.t mengajar kita supaya berdoa kepada-Nya dengan doa yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada seksa api neraka."Sabda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Apabila mati anak adam, maka putuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah yang berkekalan kegunaannya, anak salih yang mendoakannya dan ilmu yang dimanfaatkan. "
Anak merupakan satu aset penting di dunia dan juga di akhirat. Anak adalah satu sumber kekuatan bagi keluarga, masyarakat dan negara serta ummah seluruhnya. Anak-anak perlu dididik dengan akhlak-akhlak mulia supaya kelak akan membesar sebagai seorang manusia yang mempunyai nilai diri, mengetahui dan menunaikan tanggungjawab dan jauh daripada sebarang bentuk penyelewengan. Dewasa ini, dengan perkembangan dunia yang semakin terbuka, dunia tanpa batasan, era globalisasi dan perhubungan komunikasi yang semakin merapatkan jarak antara negara dan bangsa, generasi muda terutama yang masih belum mempunyai jati diri yang kukuh amat terdedah kepada ancaman elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan akhlak dan sahsiah keislaman mereka. Ditambah pula kegiatan sindiket filem dan media yang sentiasa ingin mengaut keuntungan besar melalui jualan produk yang berupaya manarik minat muda mudi untuk membelinya.
Akan tetapi yang lebih penting lagi ialah sumpah musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Nasrani yang telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran bahawa mereka tidak akan duduk diam sehinggalah berjaya mempengaruhi manusia supaya mengikut agama dan gaya hidup mereka. Berbagai-bagai rancangan dan langkah telah, sedang dan akan mereka gerakkan terhadap anak-anak Islam hanya dengan tujuan untuk merosakkan keperibadian dan sahsiah Islam mereka.
Terlalu banyak faktor-faktor yang boleh merosakkan sahsiah dan keperibadian anak-anak pada masa kini, sedangkan ibu bapa inginkan anak-anak membesar dan meningkat dewasa sebagai seorang anak yang soleh. Ibu bapa inginkan anak-anak hidup dalam keadaan mulia di dunia dan akhirat di samping menjadi aset bagi mereka dan manusia seluruhnya. Adakah ini berupaya dihasilkan? Jawapannya ialah kejayaan mencapai keinginan itu hanya akan terhasil apabila ibu bapa berupaya membentuk jati diri keislaman yang kukuh dan teguh dalam diri anak-anak.
Bentuk kehidupan anak-anak remaja khususnya, perlu dibentuk dengan acuan yang menepati identiti keislaman yang sebenar. Kegagalan membentuk kehidupan mereka mengikut lunas-lunas dan garis panduan Islam akan menyebabkan berlakunya penyelewengan- penyelewengan sama ada besar atau kecil dalam perlakuan harian mereka. Penyelewengan-penyelewengan ini akan mengakibatkan kerugian yang tidak ternilai sama ada kerugian sama ada yang ditanggung oleh diri, keluarga, masyarakat, negara mahupun umat Islam keseluruhannya. Ini kerana setiap individu yang ada dalam masyarakat Islam adalah suatu yang bernilai dan mempunyai peranan serta tanggungjawabnya yang tersendiri. Walau sekecil mana sekalipun peranan yang dipikul ia tetap menjadi pelengkap kepada binaan masyarakat dan juga negara. Lihat sahaja nilai kerugian apabila ramai daripada kalangan remaja dan muda-mudi Melayu Islam terjebak ke lembah penagihan dadah dan perlakuan jenayah. Kerugian ini lebih-lebih lagi dapat dirasai apabila individu remaja atau muda-mudi yang terlibat dengan penyelewengan ini adalah daripada kalangan mereka yang mempunyai potensi yang tinggi sama ada potensi akal mahupun tenaga kemahiran.
Justeru itu, mahu tidak mahu ibubapa sekarang ini perlu mengorak langkah secara bersungguh-sungguh dalam mendidik dan memandu anak-anak semenjak dari kecil supaya apabila mereka meningkat remaja dan belia akan mudah mengikut cara hidup yang sihat dan lurus. Bagi menjayakan usaha ibu bapa mendidik anak-anak ini, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian supaya usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil dan kejayaan. Antara perkara tersebut ialah: Apakah acuan yang hendak digunakan untuk mengenal anak-anak yang hendak dididik?
Diri manusia termasuklah kanak-kanak mempunyai dua elemen penting yang perlu diberikan perhatian dan tidak boleh diabaikan salah satu daripadanya.Setiap satu daripada dua elemen tersebut mempunyai keperluan dan makanan yang bolehmembina dan menguatkannya.Setiap dua elemen tersebut mempunyai sifat-sifatnya yang tertentu.Setiap elemen yang pada diri manusia mempunyai musuh yang boleh merosakkannya jika tidak dihindari.Apabila setiap elemen pada diri manusia itu kuat, atau sebaliknya lemah, maka ia akan menghasilkan kesan-kesan yang tertentu yang boleh diukur.
Apakah pentunjuk-pentunjuk yang telah dijelaskan oleh wahyu untuk memenuhi keperluan dan melindungi setiap elemen tersebut supaya sentiasa segar kuat dan apakah petunjuk wahyu dalam melindunginya daripada rosak.Kesemua perkara yang telah disebutkan di atas adalah asas-asas penting dalam memastikan kejayaan ibubapa mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang sejahtera. Panduan wahyu adalah penting dalam mendidik anak-anak sekiranya ibu bapa hendak menjadikan anak-anak sebagai seorang Islam yang sejati. Ini kerana Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah melalui wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Manakala manusia pula adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah. Secara rasionalnya manusia pasti menerima bahawa hanya pencipta sesuatu sahaja yang berupaya menyusun peraturan atau ´manual´ bagi memastikan benda yang dicipta tersebut dapat berfungsi dengan baik dan terelak daripada rosak. Dalam mendidik anak-anak, kadang-kadang ibubapa terlupa terhadap panduan wahyu yang serba lengkap lalu berpindah mengambil panduan-panduan daripada teori lain yang kadang-kadang juga bertentangan dengan panduan wahyu itu sendiri. Kecelaruan panduan ini mengakibatkan anak-anak yang dididik juga menjadi bercelaru kerana panduan yang diberikan kepadanya bertentangan dengan fitrah yang ada dalam diri mereka. Bukan semua panduan yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji manusia terseleweng daripada panduan wahyu. Tidak dinafikan ada juga teori-teori dari Barat dan Timur yang menepati panduan wahyu dan berupaya membina manusia dengan jayanya. Bagaimanapun, apa yang penting ialah ´sikap berhati-hati´ ibu bapa terhadap teori-teori yang menyesatkan dan akhirnya merosakkan keperibadian atau sahsiah anak-anak yang dididik.
Islam tidak pernah melarang umatnya daripada mengambil faedah daripada kebaikan-kebaikan yang ada pada umat bangsa lain kerana kebaikan itu adalah sesuatu yang hilang daripada umat Islam. Sekiranya umat Islam menjumpainya semula maka mereka lebih berhak untuk mendapatkan dan menggunakannya.
Membentuk Jati Diri Anak-anak
Labels: Panduan Ibu Bapa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)







0 comments:
Post a Comment